Tuesday 27 March 2012

BAB DUA PULUH TUJUH


MUKA Irina kelihatan pucat sedikit. Kelihatan tidak bermaya  seperti selalu. Ada sesuatu yang menganggu fikirannya kala ini. Saluran darah yang mengalirkan darah ke seluruh tubuhnya seperti dihalang dengan satu gumpalan yang sangat besar. Dia tidak pula bersuara seperti selalu. Kelakuannya yang menceriakan dan mencuitkan hati terkubur secara tiba-tiba.
Ana yang berada bersebelahannya pula hanya merenungnya dengan penuh kerisauan yang terbuku di hati.Jarang dia melihat Irina sebegitu rupa. Pasti ada sesuatu yang berlaku pada dirinya.
Rasylan pula hanya memandang gadis itu  dengan seribu satu persoalan yang bermain di minda. Kenapa pula dengan gadis ini? Pelbagai soalan yang berasak dalam mindanya kala ini. Dia mengerling ke arah gadis itu. Irina pula hanya mendiamkan diri. Membisu seribu kata. Muka pula berkerut seribu. Seperti cacing kepanasan. Bergerak ke sana sini cuba untuk menyejukkan diri. Resah. Gelisah. Risau. Macam –macam perasaan yang bermain dan menganggunya.
      “Hei… Rina. Kenapa ni?” Ana menepuk bahu Irina cuba untuk mengetahui kegusaran hati sahabatnya itu. Tidak sedap hati pula dia melihat keadaan Irina ini.
 Irina  tersentak apabila ditepuk daripada belakang. Mahu sahaja gugur jantungnya. Dia segera berkalih memandang Ana yang menatapnya dengan kerisauan yang teramat sangat. Gadis itu cuba mengukirkan senyuman walaupun Ana dihadapannya mampu meneka apa jenis senyuman yang ditawarkan kepadanya.Penuh dengan kepura-puraan. Ana hanya menunggu jawapan sahih daripada gadis itu.
    “ Takde apa-apa lah,” Irina cepat-cepat mengalihkan pandangannya ke hadapan cuba menyembunyikan apa yang bersarang di dalam hati. Ana hanya menggelengkan kepalanya. Irina memang seorang gadis yang banyak  menyimpan apa yang dialaminya di dalam hati. Itulah sebabnya sukar untuk memahami gadis ini.

MEREKA berkumpul bagi membincangkan tugasan yang akan dilakukan pada malamini. Mengagihkan tempat yang akan mereka awasi pelajar-pelajar tingkatan satu ini. Keadaan di situ agak riuh rendah seketika apabila pelbagai buah fikiran dikeluarkan daripada benak masing-masing.
        “ Tugas ni, kita kena buat secara berpasangan. Tapi bukan perempun sama perempuan atau lelaki sama lelaki. It’s some kind of dangerous,” suara Farid jelas kedengaran memberikan arahan dan buah fikirannya mengatasi beberapa masalah yang akan berlaku. Yang lain pula hanya mendiamkan diri menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang diperkatakan oleh Farid. Sememangnya, daya kepimpinan Farid tiada tolok bandingannya. Maklumlah Naib Ketua Pemimpim Pelajar. Tentulah kewibawaannya tidak mampu ditandingi.
 Irina pula hanya mendengar sahaja. Tidak pula dia  membantah mahupun mengeluarkan sebarang buah fikirannya seperti apa yang berlaku di dalam kelas selama ini. Lagi pula dia sedang bertarung dengan perasaannya kala ini.
       “ Jadi pasangannya mesti lelaki dan perempuan,” telahan Rasylan disambut dengan anggukan daripada Farid. Memang apa yang dikatakan itu tidak munasabah. Lelaki dan perempuan berdua-duaan di kawasan yang gelap menimbulkan sedikit kegusaran. Namun, memandangkan tiada apa yang mampu dilakukan lagi, maka itu merupakan jalan yang sedikit terbaik. Tidak mungkin hendak meninggalkan pasangan perempuan untuk mengawasi. Maklumlah perempuan sememangnya lemah. Jadi pengawasan daripada lelaki sedikit sebanyak dapat mebantu mereka.
Semua mengangguk mendengar penjelasan daripada Farid. Mereka kemudiannya mengagihkan pasangan masing-masing.
Ana menyiku Farid. Lelaki itu tersentak seketika. Mujurlah, yang lain sibuk memilih pasangan masing-masing. Farid berkalih memandang Ana. Pada masa yang sama Rasylan yang berada disebelahnya pun berkalih memandang ke arah yang sama. Mendengar setiap butiran gadis itu perkatakan.
     “Farid, bagilah Rina seseorang yang mampu jaga dia..” Ana menunjukkan ke arah Irina yang sedang termenung sedari tadi. Mukanya pun kelihatan pucat juga. Farid memandang ke arah Rasylan yang berada di sebelahnya. Rasylan pun tidak mampu berkata apa-apa.
     “Masing-masing dah pilih pasangan?” Pertanyaan Farid disambut dengan anggukan daripada semua pimpinannya.
        “ Baiklah. Rina, you’ll be with me,” seruan namanya membuatkan Irina terpaku sebentar.
      “Ana , you’ll be with Rasylan,” Ana dan Rasylan serentak mengangguk. Memahami arahan daripada ketua mereka. Irina masih lagi terpaku dengan apa yang berlaku. Matanya masih tepat memandang ke arah Farid yang sibuk memberikan arahan dan panduan tentang tugasan pada malam ini.Farid pula hanya meneruskan tanggungjawab dan amanah yang diberikan tanpa mempedulikan pandangan gadis itu terhadapnya.

         “ ARE you still okay, Rina,” sekali lagi Irina tersentak apabila disapa daripada belakang. Langkahnya segera terhenti. Kalau nak diikutkan suara tesebut tidak pula pernah didengarnya. Dia segera menoleh ke belakang melihat siapakah gerangan yang menegurnya itu.
Rasylan yang baru pertama kali menyapa gadis itu agak sedikit gugup. Inilah pertama kalinya dia menegur gadis itu sepanjang Irina berada di sini. Dia hanya tersenyum apabila Irina memandang ke arahnya. Muka gadis itu berkerut dengan seribu satu persoalan yang bermain di benaknya. Tetapi dia cepat-cepat membalas senyuman lelaki itu setelah menyedari bahawa Rasylan yang menegurnya. Mencuba untuk mengawal keadaan yang berlaku.
         “ Ya… I’m still okay,” Irina hanya tersenyum melihat keprihatinan seseorang lelaki terhadapnya. Sebenarnya dia memang terkejut memandangkan lelaki tersebut bukanlah orang yang dia kenali. Sepanjang dia berada disekolah ini, Irina hanya rapat dengan rakan sekelasnnya dan rakan-rakan yang seiring dengannya. Tapi Irina pandai mengawal keadaan sekeliling.
Dia cepat-cepat berkalih ke arah yang lain. Tidak mahu bertentang mata dengan lelaki yang bercermin mata itu. Dia mempercepatkan lagi langkah kakinya menghampiri Ana yang tidak jauh daripadanya.


FARID  menghampiri Rasylan yang masih tetap pada tempatnya. Memandang ke arah pandangan mata sahabatnya yang  melayang  jauh entah ke mana . Tak lain tak bukan mestilah pada Irina. Lelaki itu hanya mengeluh perlahan. Pening juga kepalanya mengenangkan apa yang berlaku dengan sahabatnya yang seorang ini.
 Rasylan pula membatukan diri sahaja disitu. Tidak berganjak ke mana-mana. Seperti ada sesuatu yang dilekatkan dibawah kasutnya. Menyukarkan dia untuk bergerak walau seinci pun. Wajahnya pula seperti orang yang baru putus cinya. Minda menerawang entah ke mana hinggakan kedatangan Farid pun tidak pula disedari.
Farid menepuk bahu Rasylan. Lelaki itu pula tersentak daripada fikirannya yang menerawang. Kembali ke tempat asalnya semula. Matanya tampak sayu memandang tepat ke mata Farid. Nampaknya disebalik pandangan mata tersebut mentafsirkan sesuatu.
    “ Biasalah tu. Rina memang macam tu. Dia susah sikit nak bergaul dengan orang. Rileks bro,” Farid menepuk-nepuk belakang Rasylan berkali-kali cuba untuk menenangkan perasaan sahabatnya yang bergelojak itu tadi. Rasylan pula hanya mengeluh kasar. Seperti ada sesuatu yang merangkul pernafasannya kala ini. Sebenarnya, dia hanya mahu menjalinkan tali persahabatan dengan gadis itu. Ada sesuatu yang mengajak dirinya untuk merapatkan silaturrahim antara mereka berdua.
    “ Kau jaga Rina betul-betul tau. Aku tengok dia pucat semacam pulak,” akhirnya barulah Rasylan bersuara walaupun sudah berapa lama dia mendiamkan diri.Farid pula hanya tertawa kecil melihat kegusaran yang melanda fikiran dan jiwa lelaki itu.
      “ Yelah… Aku jaga dia baik-baik. Jangan risau. Cheer up, bro. Nanti kalau Siti nampak kau macam ni, aku tak tau,” Rasylan hanya tertawa kecil apabila rakannya menyebut nama Siti. Farid segera melangkah kakinya meninggalkan Rasylan keseorangan. Dia pun perlahan-lahan menginjakkan kakinya mengekori Farid yang berada di hadapannya dengan senyuman yang masih lagi terukir dibibir.

No comments:

Post a Comment